BERKONVOI TIDAK KENA PADA MASA

Ahad, 29 Mac 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto: Ihsan IPD Jelebu

1/2

JELEBU: Empat penunggang motosikal berusia lingkungan 20-an hingga 30-an telah mengambil tindakan 'bijak' apabila berkonvoi dari Cheras ke Titi, pada pagi tadi.

Hasilnya mereka berjaya melakar sejarah peribadi, berikutan menjadi kes tangkapan pertama di daerah ini yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Kamarul Rizal Jenal, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

Keempat-empat lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu telah ditahan di Jalan Besar Titi, di sini, jam 9.30 pagi.



 

"Ujian air kencing terhadap semua suspek, didapati negatif. Mereka semua akan direman esok bagi membantu siasatan.

"Siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Kamarul Rizal menasihatkan orang ramai agar sentiasa berada di rumah dan hanya keluar jika ada keperluan mendesak.

"Pada ketika ini, kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 ini," katanya.