MAHASISWA NEGERI SEMBILAN TERIMA BANTUAN BULANAN

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Jumaat, 29 Mac 2019 

1/3

SEREMBAN: Anak Negeri Sembilan yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Politeknik di seluruh negara, bakal menerima bantuan kewangan secara bulanan menerusi Bantuan Sara Hidup Mahasiswa Keluarga B40 mulai April ini.


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata melalui inisiatif diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dengan Yayasan Negeri Sembilan selaku pelaksana, setiap pelajar yang layak akan diberi bantuan sebanyak RM100 pada setiap bulan sepanjang tahun 2019.

Menurutnya sebagai permulaan, seramai 60 individu dalam kalangan penuntut Politeknik Port Dickson; Politeknik Nilai; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau; UiTM Seremban 3, UiTM Kuala Pilah dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menerima bantuan itu pada hari pelancarannya.


"Kita maklum bahawa setiap universiti ada senarai pelajar yang perlukan bantuan. Jadi kita akan masukkan terus (bantuan tersebut) ke akaun mereka pada masa akan datang, setiap bulan.

 

"Maka pihak universiti (bahagian hal ehwal pelajar) harus berikan senarai nama (pelajar yang layak) kepada Yayasan Negeri Sembilan, untuk kita bantu mereka yang dalam kesukaran," katanya.

Aminuddin berkata, bantuan itu ditawarkan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi dalam golongan keluarga B40 tanpa mengira semester dan tahun pengajian mereka.

"Kita harap pemberian (bantuan) ini akan mengurangkan kesulitan atau kesukaran ditanggung mereka sepanjang berada di pusat pengajian tinggi," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran bantuan berkenaan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik dan Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, YB Mohd Khidir Majid.

Berdasarkan syarat ditetapkan untuk memohon, takrifan anak Negeri Sembilan merujuk kepada pemohon itu sendiri dan ibu atau bapa mereka yang lahir di Negeri Sembilan.

Selain itu, pemohon mestilah menetap di Negeri Sembilan atau telah bermastautin di Negeri Sembilan tidak kurang dari lapan tahun.

Sehubungan itu, mereka yang bertaraf pemastautin perlu mendapatkan pengesahan daripada wakil rakyat kawasan; ketua jabatan; ketua kampung; penghulu atau pengerusi MPKK berkaitan.

Paling utama, pendapatan isi rumah iaitu ibu bapa tidak melebihi RM3,930 sebulan yang merupakan golongan B40 di Negeri Sembilan.

Permohonan juga boleh dibuat dengan mengisi borang yang boleh didapati di pejabat Yayasan Negeri Sembilan.