HAL EHWAL KESIHATAN ORANG ASLI, SENTIASA DIBERI PERHATIAN

Sabtu, 29 Jun 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/2

SEREMBAN: Kerajaan Negeri sentiasa prihatin serta memberi perhatian khusus terhadap hal ehwal kesihatan Orang Asli di Negeri Sembilan. 

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Tuan S Veerapan berkata, perkhidmatan kesihatan dan kebajikan diberikan kepada golongan itu menerusi jalinan kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri.

Menurutnya sejak Januari 2012, keseluruhan perkhidmatan kesihatan Orang Asli telah diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan tujuan bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif.

"Antara perkhidmatan disediakan seperti lawatan berkala iaitu dua kali sebulan oleh pasukan Klinik Bergerak. Sehingga kini, 36 perkampungan Orang Asli yang jauh di pedalaman menerima perkhidmatan berkenaan di seluruh Negeri Sembilan.

"Pasukan Klinik Bergerak ini terdiri daripada Pegawai Perubatan dan Paramedik. Perkhidmatan disediakan merangkumi perkhidmatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, penyakit kronik serta penyakit tak berjangkit," katanya kepada NS Daily, di sini.

Pada masa sama, katanya, pelbagai lagi program kesihatan ditawarkan kepada masyarakat Orang Asli misalnya Program Community Feeding/Bakul Makanan iaitu bantuan makanan berzat kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah kekurangan nutrisi.

"Program Demo Masakan makanan berkhasiat juga dijalankan di komuniti ini. Selain itu, Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) dilaksanakan di perkampungan Orang Asli tertentu bagi menangani penyakit kronik dan mempromosi gaya hidup sihat. 

"Program Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) pula disediakan di perkampungan Orang Asli, bagi tujuan bekalan air luar bandar dan sanitasi. Buat masa ini, dua kampung Orang Asli dalam daerah Seremban telah menerima bekalan air luar bandar melalui program berkenaan.

"Lapan lagi kampung Orang Asli dalam daerah Jelebu telah menerima bekalan air bersih melalui Gravity Feed System (GFS). Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri akan sentiasa meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat ini dengan kerjasama agensi berkaitan terutamanya JAKOA," katanya.