KURSUS BINA HARAPAN, MEDIUM PERANGI DADAH

Isnin, 29 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/7

JEMPOL: Kerajaan Negeri meletakkan isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja sebagai salah satu dari Indeks Prestasi Utama (KPI) negeri, bagi menangani perkara itu.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, penganjuran Kursus Bina Harapan (KBH) peringkat Negeri Sembilan 2019 dilihat dapat membantu penyampaian informasi terkini berkaitan isu dadah dalam kalangan remaja.

Menurutnya, kursus ini mempunyai kelainan berbanding kursus yang lain berikutan pemilihan penceramah yang pakar dan berkemahiran tinggi dalam tugasan berkaitan. 

Pihak pengurusan yang lain seperti kaunselor; jurulatih dan fasilitator juga dipilih berdasarkan kepakaran dalam bidang berkaitan penyalahgunaan dadah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Kita ingin ingatkan betapa pentingnya kursus ini diadakan untuk beri kesedaran bahaya penyalahgunaan dadah, kesannya kepada kesihatan tubuh badan dan pendedahan peraturan, undang-undang dan hukuman.

"Pengisian latihan fizikal dan lapangan juga dibuat bagi membina keyakinan diri dan meningkatkan tahap kesihatan tubuh badan serta kemahiran memilih rakan sebaya yang bersesuaian.

"Kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan diperlukan bagi membendung isu tersebut," katanya di Pusat Kokurikulum Negeri (Pusako) Kem Hassan Basir, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menyatakan perancangan untuk mengadakan sesi seterusnya bagi melatih remaja menjadi pemimpin kepada masyarakat pada masa akan datang.

Tambahnya, beliau berharap KBH dapat membina ketahanan dan jati diri yang tinggi di kalangan remaja, di samping mengamalkan nilai-nilai murni setiap masa.