CADANG WUJUDKAN BANTUAN GUAMAN BAGI GOLONGAN ASNAF

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Selasa, 29 Januari 2019 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan khidmat bantuan guaman, khusus bagi golongan asnaf yang terlibat dengan prosiding di Mahkamah Syariah. 

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, cetusan idea itu diperoleh melalui hasil perbincangan kira-kira sejam bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia Cawangan Negeri Sembilan di pejabatnya, di sini, pagi tadi.   

"Kita cadang perlu ada bantuan kepada golongan asnaf yang berdepan masalah melibatkan kes syariah. Kita pun tak pernah ada lagi bantuan guaman sebegini (yang hanya dikhaskan untuk asnaf).   



 


"Tapi (perkara) ini baru di peringkat perbincangan dengan Majlis Peguam Syarie (Cawangan Negeri Sembilan) dan disambut baik oleh mereka. Kalau dapat dibuat (pelaksanaannya), alhamdulillah," katanya.

Selain itu kata Aminuddin, sumber kewangan bagi membiayai kos guaman untuk golongan terbabit juga masih dalam perbincangan.

"(Soal) daripada mana tabung (untuk bayaran guaman), itu kita akan bincangkan. Cadangan ini pun datang daripada persatuan berkenaan. Jadi, kita (selaku) Kerajaan Negeri pun menyokong," katanya. 

Seramai 10 wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia Cawangan Negeri Sembilan yang diketuai oleh Pengerusinya, Dato' Haji Hanif Hassan telah membuat kunjungan hormat terhadap Menteri Besar di Wisma Negeri, di sini.

Selain bantuan guaman khusus untuk asnaf, mereka turut membincangkan isu nafkah anak-anak pasca perceraian, sosial, pendidikan serta hasrat untuk mewujudkan Akta Profesion Guaman Syarie.   

1/3