CABARAN 2019 - KEPIMPINAN AMINUDDIN MAMPU LONJAKKAN KEMAJUAN NEGERI DAN BELA NASIB RAKYAT

Oleh: Mohd Amin Jalil         Sabtu, 29 Disember 2018 

SEREMBAN: Biarpun baru sahaja mengambil alih kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan pada Mei 2018 sebaik memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, namun reputasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan dilihat begitu meyakinkan dalam kalangan rakyat.

Ketokohan dan kepimpinan Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun yang disenangi rakyat membuatkan beliau diterima baik semua peringkat masyarakat, malah setiap permasalahan rakyat sentiasa diberikan keutamaan.

Menererusi sokongan padu ahli-ahli EXCO dan wakil rakyat serta pegawai kerajaan, membolehkan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar tanpa sebarang masalah.


Keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau dilihat terus

memberangsangkan selepas beliau membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2019 pada 17 Disember lalu.

Ini kerana belanjawan bertemakan ‘Memperkayakan Hasil, Memakmurkan Kekayaan’ itu menyediakan pelbagai insentif dan faedah untuk rakyat di semua peringkat terutama golongan kurang berkemampuan.

Belanjawan berimbang membabitkan peruntukan sebanyak RM430 juta meningkat RM18 juta atau 4.37 peratus berbanding RM412 juta pada tahun 2018 itu, mengambarkan keyakinan kepimpinan kerajaan negeri PH untuk membela nasib rakyat dan dalam masa membangunkan negeri ke tahap lebih cemerlang.

Dari segi pecahannya, peruntukan itu membabitkan anggaran belanjawan mengurus 2019 meliputi emolumen sebanyak RM169.25 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM90.19 juta), perolehan aset (RM3.38 juta), pemberian dan bayaran tetap (RM160.13 juta) serta perbelanjaan lain, RM7.05 juta.

Sebanyak RM116.9 juta pula diperuntukkan bagi melaksanakan agenda pembangunan tahun depan, sekali gus menjadi peruntukan pembangunan terbesar dicatatkan dalam belanjawan di negeri ini sejak lima tahun lalu.

Tegas Aminuddin, belanjawan itu dirangka dengan mengambil kira persekitaran ekonomi dunia yang mencabar selain bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, memperkasa daya saing negeri dan modal insan, serta memastikan kebajikan rakyat khususnya golongan yang memerlukan mendapat pembelaan.

"Saya yakin belanjawan ini mampu memberi impak positif dalam usaha membangunkan negeri dan membela nasib rakyat berteraskan dasar Bersih, Muafakat dan Sejahtera," katanya.

Belanjawan itu turut menerima sokongan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan apabila beliau menyifatkannya sebagai baik untuk kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.

"Saya yakin dasar yang dirangka itu mampu memberi jaminan kepada rakyat serta dapat membela rakyat di negeri ini kerana mempunyai lebihan pendapatan.

“Saya lihat dalam Belanjawan 2019 ada penambahan pendapatan dan bantuan kepada rakyat seperti kepada ibu tunggal dan pelajar sekolah. Ini semua baik," katanya.

Pastinya segala perancangan yang dibentangkan Menteri Besar itu memerlukan sokongan dan kerjasama padu daripada semua pihak bagi memastikan kejayaannya.

Justeru, apa diharapkan tahun 2019 yang bakal menjelang tiba, dapat memberi sinar bahagia buat rakyat di Negeri Sembilan biarpun ketika ini berdepan situasi ekonomi global yang amat mencabar.

Namun, jika semua semua pihak dapat sama-sama mendukung dan menjayakan wawasan kerajaan negeri dalam memajukan negeri dan membela nasib rakyat, nikmatnya pasti dapat dirasai.

1/1