ANSAR BUKTI KASIH SAYANG TUANKU MUHRIZ TERHADAP RAKYAT

Sabtu, 28 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/3

SEREMBAN: Bantuan Guaman Syarie Negeri Sembilan atau singkatannya aNSar diperkenalkan di negeri ini, bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang terlibat dengan prosiding Mahkamah Syariah tanpa sebarang bayaran.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, bantuan itu merupakan hasil buah fikiran Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Menurutnya, usaha berkenaan direalisasikan atas dasar prihatin dan kasih sayang baginda terhadap rakyat jelata di negeri ini. 

"Ini merupakan bantuan guaman syarie yang pertama di Malaysia dilaksanakan oleh persatuan (Peguam Syarie Negeri Sembilan) itu sendiri (sebagai pihak penyelaras).

"Banyak (jenis) kes yang akan dibantu seperti kes rayuan; permohonan kebenaran merayu; permohonan tegahan/injunksi membawa anak keluar Malaysia; permohonan tegahan/injunksi terhadap guaman; permohonan pengesahtarafan anak; tuntutan ganti rugi pertunangan dan permohonan pengesahan perintah nikah.

"Selain itu membabitkan tuntutan fasakh; permohonan anggapan mati; tuntutan mut'ah; tuntutan harta sepencarian; tuntutan nafkah isteri; tuntutan nafkah kepada pihak tak upaya; tuntutan cagaran nafkah; tuntutan nafkah idah; tuntutan mengubah perintah nafkah; tuntutan nafkah anak dan banyak lagi," katanya.

Mengulas kelayakan pemohon pula, kata Aminuddin, perkara tersebut terbahagi kepada dua kategori.

"Bagi kategori pertama, sumber kewangan tahunan (si pemohon) berjumlah RM30,000 dan ke bawah. Maknanya gaji mereka lebih kurang RM2,000 lebih (sebulan).

"Kategori kedua pula, (si pemohon) memperoleh sumber kewangan tahunan tak kurang RM30,000 tapi tak melebihi RM50,000. (Permohonan golongan) ini dalam pertimbangan," katanya.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri Sembilan menyumbangkan sebanyak RM100,000 sebagai tanda sokongan padu terhadap usaha murni berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita melalui sidang media yang diadakan selepas perasmian aNSar di Royale Chulan, di sini, semalam.

Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz telah berkenan menyempurnakan perasmian bantuan guaman itu.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu adalah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Binti Tengku Besar Mahmud serta anakanda baginda, Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin.

Hadir sama adalah Yang Teramat Mulia Undang Luak Jelebu, Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman, Dato' Maarof Mat Rashad; Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato' Muhammad Haji Abdullah dan Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Maklumat lanjut mengenai aNSar boleh didapati di pejabat Sekretariat Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan yang beralamat di No.5, Tingkat 1, Jalan Durian Emas 2, Betaria Business Centre, Seremban.

Boleh juga kemukakan sebarang pertanyaan ke emel berikut: pgsmns@gmail.com atau hubungi 06-7628014 atau pun faks di talian 06-7628017.