JUMLAH LEBIHAN TUNAI HANYA RM343 JUTA

Jumaat     28 September 2018       

28 sep 1-1.jpg

SEREMBAN: Rizab berjumlah RM726 juta sepertimana direkodkan pada penyata kewangan bertarikh 31 Disember tahun lepas, bukanlah gambaran sebenar lebihan tunai dimiliki kerajaan negeri.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun (PKR-Sikamat) berkata, sebaliknya jumlah sebenar lebihan tunai yang boleh digunakan oleh kerajaan negeri hanya RM343 juta.

"Ini kerana takrifan Rizab adalah terdiri daripada dua akaun iaitu Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM343 juta dan Akaun Amanah Disatukan sebanyak RM383 juta.

"Kerajaan negeri perlu ambil kira wang Akaun Amanah Disatukan yang mempunyai komitmen tertentu kepada rakyat.

"Antara komitmen dimaksudkan seperti deposit daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pengurusan pengambilan balik tanah berjumlah RM215 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan Yang Ke-14, di sini.

Tujuannya untuk menjawab persoalan dibangkitkan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau), sebelum ini berkaitan kedudukan rizab dan hasil kerajaan negeri.