KAWASAN PERANGINAN DI PANTAI HILLS DISIASAT

Selasa, 28 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Mohd Zamzuri Daud
Foto: Nabilsyafiq MH

1/1

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sedang melaksanakan siasatan terperinci terhadap kawasan peranginan mewah di Pantai Hills, di sini, berikutan didapati beroperasi tanpa kebenaran sejak lebih 10 tahun lalu.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, kawasan berkeluasan lebih 100 ekar berstatus tanah pertanian itu dimiliki oleh pelbagai individu yang kebanyakannya dari Kuala Lumpur.

"Ada dua isu yang kita risaukan. Pertama mengenai hasil negeri yang hilang apabila tanah (berstatus) pertanian digunakan untuk (tujuan) komersial. Mereka bayar cukai tanah yang murah untuk tanah pertanian, tapi mereka kutip hasil yang banyak.

"Di samping itu, kita juga khuatir (keselamatan) bangunan itu yang tak dapat kebenaran (telah) dibuat di kawasan lereng yang curam. Kita khuatir akan berlaku sesuatu yang tak diingini," katanya.

Pada masa sama, kata beliau, pihaknya turut meneliti kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan misalnya cara pengusaha mendapatkan bekalan air bersih.

"Mereka sekarang ambil air secara terus dari sungai. Ini pun (satu) kehilangan hasil kepada Kerajaan Negeri, (memandangkan) rumah mereka ada kolam renang apa semua.

"Kita juga khuatir dari aspek kebersihan, sebab air itu sendiri tak diproses dengan sempurna," katanya pada sidang media di Wisma Negeri, di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu katanya, satu jawatankuasa diketuai oleh Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong telah ditubuhkan sejak awal lagi untuk mengkaji tindakan yang sesuai.

"Bila kita (Pakatan Harapan) ambil alih (pentadbiran), kita dah tubuhkan jawatankuasa. Jadi kita nak jawatankuasa beri cadangan, bagaimana untuk memutihkan kawasan itu.

"Kita dah hantar notis (kepada pengusaha terlibat) supaya mereka faham. Kita tak mahu bila dah ada (berlaku) kemalangan, baru nak bertindak.

"(Setakat ini) ada antara pengusaha dah mula buat permohonan untuk memutihkan kawasan mereka," katanya.