MAKI HAMUN, AJAK POLIS BERTUMBUK

Sabtu, 28 Mac 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Foto hiasan ihsan: Rakan Media Network

1/1

KUALA PILAH: Nampaknya ada seorang lelaki cuba tunjuk macho dan kejantanannya, dengan cara memaki hamun orang lain.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit juga dipercayai cuba mengajak orang lain untuk bertumbuk dengannya.

Malangnya dia tersilap pilih lawan, sebab orang yang dicabarnya merupakan anggota polis.

Difahamkan, insiden itu berlaku ketika sekatan di Jalan Kuala Pilah - Batu Kikir, berhadapan Klinik Kesihatan Juasseh.

Lelaki berusia 37 tahun itu berang, gara-gara diminta memberi kerjasama supaya berpatah balik oleh pihak polis.

Akibatnya, dia berjaya melakar sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama ditahan di daerah ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, individu terbabit ditahan pada jam 3.40 petang semalam.

"Suspek dipercayai dari KLIA menghala ke Gebeng, Kuantan bagaimanapun gagal mengemukakan surat kebenaran pergerakan daripada pihak polis.

"Kemudian suspek bertindak memaki hamun dan mencabar anggota polis bertugas untuk bertumbuk," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Tambahnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Sumber olahan: Berita Harian