IHTIFAL: TINGKATKAN MARTABAT AL-QURAN DAN BAHASA ARAB

Ahad, 28 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/4

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa meletakkan pembangunan pendidikan sebagai agenda yang perlu diberi keutamaan, demi kecemerlangan anak-anak. 

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, ihtifal ini diadakan bagi menguji tahap kemahiran dan pengetahuan para pelajar dalam bidang bahasa Arab, Al-Quran dan agama Islam. 

"Jadikan Al-Quran sebagai sumber pemberi semangat dan motivasi untuk maju. 

"Kita ambil contoh, kejayaan tilawah Al-Quran awal tahun ini. Kita kena pastikan kejuaraan ini dapat diteruskan," katanya. 

Menurutnya, program ini juga dapat melahirkan generasi cintakan Al-Quran dan bahasa Arab, di samping menjadikan masyarakat yang menghayati serta tadabbur isi kandungan Al-Quran.

Tambahnya melalui tema 'Al-Quran Pembawa Rahmat Untuk Umat', beliau menyeru masyarakat agar meneruskan usaha untuk memberikan yang terbaik dalam setiap amalan dilakukan. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Majlis Ihtifal Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (MISS) Peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 2019 di SMKA Sheikh Haji Mohd Said, di sini, semalam. 

Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Tuan Haji Md Fiah Md Jamin.