LEXIS HIBISCUS 2 DIBINA DI PORT DICKSON

Ahad, 28 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/3

PORT DICKSON: Kumpulan Kuala Lumpur Metro (KL Metro) akan melaksanakan projek pembangunan resort terbaharu, Lexis Hibiscus 2 yang dijadualkan siap pada tahun 2024.

Resort mewah bertaraf lima bintang itu akan dibangunkan bersebelahan Lexis Hibiscus sedia ada dan dijangka mencatatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, Perbadanan Menteri Besar (MBI) akan mendapat keuntungan 20 peratus daripada hasil jualan bersih keuntungan tahunan menerusi perjanjian itu.

"Kita dapat ekuiti sebanyak 20 peratus, pegangan ekuiti dalam GDV dalam tempoh 15 tahun. 

"Kita dibayar empat fasa. Keuntungan jualan unit dan keuntungan daripada operasi hotel. Dulu kita tak dapat, tapi sekarang kita dapat.

"Kita dah tetapkan, akan dapatkan keuntungan ini dan kita kembalikan kepada rakyat Negeri Sembilan," katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi KL Metro, Dato' Haji Mat Hassan Esa berkata, projek berkenaan dijangka mampu menarik 400,000 pelancong ke Port Dickson.

"Melalui kepakaran sebagai syarikat perhotelan terulung dengan pengetahuan pasaran tempatan yang utuh, projek ini mampu capai kejayaan setara atau melangkaui Lexis Hibiscus," katanya.

Tambahnya lagi, projek itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat tempatan serta meningkatkan daya tarikan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan antarabangsa terkemuka.

Turut hadir adalah Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Urusan KL Metro, Datuk Low Tak Fatt.