SUBURKAN MINAT BAHASA ARAB MENERUSI KALAM JAMAIE DAN KALAM SYA'BI

Jumaat, 27 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/2

KUALA PILAH: Penganjuran Pertandingan Kalam Jamaie dan Kalam Sya'bi dilihat mampu menyuburkan minat dalam kalangan pelajar terhadap bahasa Arab.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tuan Haji Eddin Syazlee Shith berkata, penganjuran pertandingan seperti itu adalah selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), untuk memastikan setiap pelajar mencapai potensi diri sepenuhnya.

"Saya percaya pengisian program (ini) dapat terapkan nilai murni dan akhlak yang baik, serta keyakinan diri.

"Saya harap peserta yang terlibat dapat aplikasikan segala pengalaman yang baik dari segi disiplin dalam latihan; keberanian dan keyakinan diri (apabila) berada di khalayak ramai serta kelancaran mengucapkan kata-kata dalam bahasa Arab," katanya.

Menurutnya, program tersebut merupakan salah satu usaha untuk menarik minat pelajar terhadap bacaan Al-Quran; penulisan jawi; bahasa Arab dan amalan Fardhu Ain.

"Ia juga dapat ketengahkan potensi; bakat dan daya kreativiti pelajar, serta menguji tahap penguasaan bagi setiap model kemahiran Program j-QAF.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Kalam Jamaie dan Kalam Sya'bi Sekolah-Sekolah KPM, Peringkat Negeri Sembilan 2019 di SM Sains Tuanku Jaafar, di sini, semalam.

Johan Pertandingan Kalam Jamaie akan mewakili Negeri Sembilan bagi peringkat kebangsaan di Kolej Matrikulasi Selangor pada 24 hingga 26 Oktober ini, manakala Pertandingan Kalam Sya'bi sekadar dipertandingkan di peringkat negeri sahaja.