BAJET 2020: UTAMAKAN KEBAJIKAN RAKYAT

Jumaat, 27 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/3

KUALA PILAH: Bajet 2020 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober ini dijangka memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat. 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tuan Eddin Syazlee Shith berkata pada tahun pertama pentadiran, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih tertumpu kepada pengurusan berhemah berkaitan hutang negara.

"Kita harap pada tahun ini lebih banyak aspek yang mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat, khususnya yang tinggal di luar bandar dan juga bagi B40.

"Walaupun masih ada kekangan atas faktor hutang, saya percaya sebahagian daripadanya (hutang) telah diselesaikan," katanya. 

Diminta mengulas mengenai cadangan belanjawan akan datang oleh pihak kementerian, Eddin Syazlee berkata, masih terlalu awal baginya untuk memberi sebarang komen. 

Pada masa sama, katanya, beliau percaya semua pihak yang terlibat menguruskan agensi di bawah kementerian akan mengemukakan cadangan untuk bajet yang diperlukan untuk setiap agensi.

"Saya harap kita tak lagi dengar (daripada) agensi di bawah kementerian hadapi masalah dari segi perbelanjaan. Ini juga kebajikan (kakitangan) yang perlu kita utamakan.

"Saya percaya Menteri (YB Tuan Gobind Singh Deo) amat mengambil berat tentang isu ini. Saya yakin perkara ini dapat diatasi pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Kalam Jamaie dan Kalam Sya'bi Sekolah-Sekolah KPM, Peringkat Negeri Sembilan 2019 di SM Sains Tuanku Jaafar, di sini, semalam.