PELANCONGAN ANTARA TERAS PEMBANGUNAN EKONOMI

Selasa, 27 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
 

1/1

SEREMBAN: Kerajaan Negeri mensasarkan sektor pelancongan sebagai salah satu industri penting bagi teras pembangunan ekonomi Negeri Sembilan, menerusi Halatuju dan Dasar Baharu 2020-2023.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, beberapa perancangan pembangunan dikenal pasti meliputi semua daerah di Negeri Sembilan dari aspek warisan, agro pelancongan dan pelancongan desa (homestay).

"Di bawah Pelan Pembangunan Komprehensif MVV 2.0, tarikan semula jadi di Lenggeng akan dibangunkan dengan tumpuan kepada Eco-Adventure; Eco-Entertaiment dan Eco-Educational. 
 

"Bagi meningkatkan tarikan Hutan Lipur Lenggeng, projek naik taraf dilaksanakan dengan kos RM100 ribu melibatkan naik taraf surau, tangga dan tandas. Di sini juga akan dijalankan program 'Plogging @ Lenggeng' dan penanaman pokok bersama syarikat swasta, Edotco pada Ogos nanti.

"Bilangan pengunjung ke Gunung Berembun juga semakin meningkat. (Rekod) hingga Jun saja, bilangan pengunjung tempatan seramai 3,658 orang manakala pengunjung asing seramai 254 orang, menjadikan jumlahnya seramai 3,912 orang," katanya.

Sementara itu, kata Aminuddin, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dalam usaha membangunkan kawasan tersebut menerusi projek pembangunan denai dan membaiki longkang yang menelan kos sebanyak RM80 ribu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan YB Tuan Haji Suhaimi Kassim (PH-Lenggeng) mengenai rancangan Kerajaan Negeri Sembilan bagi membangunkan sektor pelancongan di DUN Lenggeng.

Soalan itu diajukan pada Persidangan Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.