PERKARA BIASA TUKAR PEGAWAI KERAJAAN

Selasa, 27 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
 

1/1

SEREMBAN: Pertukaran pegawai kerajaan merupakan perkara biasa dalam proses pentadbiran, demi kepentingan perkhidmatan serta penjawatan sedia ada.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, tujuannya untuk memastikan apa jua tanggungjawab dan tindakan yang diberi dapat dilaksanakan dengan baik demi kemajuan negeri ini.

"(Pertukaran) itu perkara biasa bagi mereka yang pernah bekerja dengan kerajaan dan (bagi) pegawai yang tak boleh bekerja dengan kerajaan hari ini, kita minta mereka supaya pindah ke jabatan lain.


 

"Kita perlukan pegawai yang jujur, ikhlas dan sedia berkhidmat untuk kita (kerajaan), (demi) memastikan apa jua tanggungjawab serta tindakan yang diberikan itu dapat dilaksanakan dengan baik. 

"Kita tak nak ada mereka (pegawai) tak beri kerjasama yang baik pada Kerajaan Negeri. (Setakat ini) pegawai yang bertukar ke Negeri Sembilan menunjukkan komitmen tinggi dan hari ini kita lihat (bagaimana) prestasi mereka," katanya.

Bagaimanapun jelas Aminuddin, pertukaran pegawai tidak bermakna mereka gagal memberikan perkhidmatan terbaik sebaliknya disebabkan kenaikan pangkat.

"Saya tak kata mereka yang pindah itu tak berikan perkhidmatan terbaik. Ramai pegawai kita dinaikkan pangkat dan berpindah ke ibu pejabat. Mungkin ini disalah-maklumkan dan ini yang harus kita lihat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung sesi perbahasan Rang Undang-Undang Tambahan 2019 pada Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.

Persidangan DUN ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kemudian.