PUSAT PEMBANGUNAN TRANSFORMASI MANTAPKAN GERAKAN BELIA

Oleh: Mohd Amin Jalil          Selasa, 27 November 2018 

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan menubuhkan Pusat Pembangunan Transformasi Belia Negeri Sembilan bagi menggerakkan sekali gus merancakkan aktiviti belia di negeri ini.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pusat itu akan dikenal pasti oleh Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani.

“Kita perlukan satu pusat untuk memudahkan kerajaan negeri memberi kemudahan kepada belia negeri ini bergerak.

“Mereka boleh sama-sama (buat aktiviti) dalam pusat ini nanti. Ada `think tank' yang memberi pandangan, dokongan, sokongan dan apa saja diperlukan belia untuk mereka bergerak dengan lebih cepat.

"Kita juga mahu pergerakan belia perlu sesuai dengan matlamat dan dasar kerajaan negeri dan kita tidak mahu mereka buat sesuatu yang tidak selari dengan impian serta matlamat ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis penutup Konvensyen Harapan Belia Negeri Sembilan, di sini.

Turut hadir adalah Mohamad Taufek dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dr Razali Ab Malek.

Sehubungan itu, Aminuddin mahu lebih banyak pertemuan diadakan antara kepimpinan negeri dan belia selain aktiviti yang menjurus kepada memperkasakan golongan itu, antaranya termasuk seminar dan perbincangan.

"Kita juga mahu jadikan konvensyen ini sebagai acara tahunan pada masa depan supaya gerakan belia di negeri ini dapat terus diperkasakan," katanya.

Pada konvensyen itu, sebanyak tujuh resolusi telah dicapai antaranya mengurangkan pengangguran belia dan meningkatkan kemudahan sukan di setiap kampung dan daerah selain memperbanyakkan kursus dan dorongan untuk meningkatkan pengetahun serta aktviti sains dan teknologi.