ATLET PARA TERIMA INSENTIF RM117,200

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Rabu, 27 Mac 2019 

1/6

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberikan insentif berjumlah RM117,200 kepada atlet para Negeri Sembilan yang berjaya meraih pingat pada kejohanan Para Sukma Ke-19 Tahun 2018 di Perak.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, penyerahan insentif membabitkan 121 atlet para dan pegawai sukan itu berikutan kejayaan mereka mengumpul 11 pingat emas, 15 perak dan 16 gangsa.

Menurutnya, atlet dan pegawai Para Sukma berkenaan menerima antara RM600 hingga RM4,000 mengikut kategori pingat yang diperolehi pada temasya tersebut.

"Difahamkan bahawa Kontinjen Para Sukma Negeri Sembilan berjaya memperbaiki pencapaian dalam Kejohanan Paralimpiad Ke-18 di Kuching pada 2016. Masa itu mereka meraih lapan pingat emas, 13 perak dan tujuh gangsa.

"Kita ingin ucapkan syabas dan tahniah atas prestasi cemerlang ditunjukkan semasa bertanding dalam kejohanan Para Sukma Ke-19. Melalui pencapaian ini, (mereka) telah mengharumkan nama Negeri Sembilan sepanjang kejohanan berlangsung.

"Kita tak rasa rugi dengan pemberian (insentif) ini, kerana inilah pengorbanan diberikan (atlet) kepada Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan amat menghargainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan insentif berkenaan di Dewan Ballroom, Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini.

Turut hadir adalah Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani serta Presiden Persatuan Sukan Orang Kurang Upaya (PESRON), Shahruddin Sidek.

Pada majlis itu, Anas Zul Amirul Sidi yang merupakan atlet renang menerima insentif sebanyak RM4,000 berikutan kejayaannya merangkul dua pingat emas sekali gus memecahkan dua rekod kejohanan.

Nur Feiqha Maulad Mohd Halil pula menerima RM2,000 selepas dinobatkan sebagai atlet wanita terbaik kejohanan apabila merangkul empat pingat emas dalam kategori catur individu dan berpasukan.