PEMBELIAN KENDERAAN BAHARU, LANCARKAN TUGAS PENGUATKUASAAN 

Khamis, 27 Jun 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Nurul Haryani Hasrol
Foto: Nabilsyafiq MH

1/4

SEREMBAN: Pembelian 15 kenderaan baharu untuk kegunaan 12 jabatan dan agensi berkaitan di negeri ini, bakal memberi nilai tambah dan impak positif dalam tugas penguatkuasaan. 

    

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pembelian 10 Toyota Hilux dan lima Mitsubishi Outlander yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.68 juta itu akan lebih memudahkan penguatkuasa menjalankan penguatkuasaan. 

Secara tidak langsung kata beliau, kehadiran kenderaan baharu berkenaan mampu mengurangkan kos selenggaraan serta berupaya meningkatkan lagi kutipan hasil negeri.  

"Seperti dalam (pembentangan) bajet yang kita maklumkan (pada Disember tahun lalu) bahawa tujuan pembelian kenderaan kepada pejabat-pejabat daerah ini adalah untuk meningkatkan hasil negeri.

"Di samping itu, kita juga sedia maklum bahawa kenderaan sedia ada (merupakan) kenderaan yang uzur iaitu (jenis) Pajero lama. 

"Jadi dengan tujuan ini, kita ingin lihat bahawa kita mampu mengurangkan kos selenggaraan untuk kenderaan-kenderaan lama ini, di samping kita beri kemudahan untuk penguatkuasa menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.

Pada masa sama, Aminuddin turut menyangkal tanggapan yang mengatakan pembelian kenderaan baharu itu sebagai satu beban kewangan kepada Kerajaan Negeri Sembilan.
 

"Kita lihat dengan adanya perkara-perkara yang kita tambah baik dalam sistem Kerajaan Negeri hari ini, menunjukkan ada peningkatan (dalam kutipan) hasil khususnya E-Doket (sebagai contoh).

"E-Doket ini kita dah kenalkan kepada lima syarikat pada awal bulan April dan kita dapati (kutipan hasil) lima kawasan (terlibat dengan) E-Doket ini telah meningkat sebanyak lima hingga tujuh peratus.

"Jadi dengan penambahbaikan baru ini, sebenarnya akan menambahkan lagi hasil negeri dan bukannya memberi beban kepada Kerajaan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Penguatkuasa Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2019 di pekarangan Wisma Negeri, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik dan Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, YB Mohd Khidir Majid.

Selain Pejabat Daerah dan Tanah, turut menerima kenderaan baharu berkenaan adalah Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan; Majlis Sukan Negeri Sembilan; Pejabat Kewangan Negeri Sembilan serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian.