SK SENAWANG 3 TERPILIH JAYAKAN TS25

Sabtu, 27 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/6

SEREMBAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Senawang 3 antara lapan sekolah yang terpilih di daerah ini bagi menjayakan pelaksanaan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Sekolah Transformasi ini menjadi model kepada sekolah lain dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkesan, dengan mengutamakan kemenjadian murid dan penglibatan aktif komuniti setempat.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata sehubungan itu, semua pihak perlu bekerjasama bagi menjayakan program tersebut. 

"Saya yakin dengan sokongan daripada semua pihak termasuklah PIBG dan komuniti setempat kepada pihak sekolah, hasrat murni ini akan tercapai," katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian SK Senawang 3 dan Penutupan Program Bacathon 2019, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kata Aminuddin, beliau turut menyokong usaha Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dalam menghasilkan pelajar ABC+D iaitu 'Anak Yang Baik Lagi Cerdik Tanpa Dadah' bagi menangani masalah disiplin pelajar.

Turut hadir adalah Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani dan Pengarah JPNS, Dato' Haji Pkharuddin Hj Ghazali.

Menteri Besar Negeri Sembilan telah menyumbangkan sebanyak RM50,000 untuk pembangunan sekolah tersebut dan RM5,000 untuk kelab guru.