NSSDC-YGL TANDATANGAN MEMORANDUM PROMOSIKAN INDUSTRI 4.0

Sabtu, 27 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Mohamad Syawal Saleh

1/6

NILAI: Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Sembilan (NSSDC) dan Syarikat YGL Convergence Berhad (YGL), semalam.

Kerjasama ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi mempromosikan teknologi terkini dalam Industri 4.0 yang melibatkan sektor perkilangan; perkhidmatan; pembuatan; industri kecil dan sederhana (IKS) serta pelbagai lagi.

Pegawai Khas Ekonomi Menteri Besar, Puan Azlina Mohd Sukaimi berkata, tujuannya untuk menarik ramai pelabur terutamanya dari China datang ke Negeri Sembilan.

"Kita mahu buat kelainan seperti versi Cina, (sebab) di sini (Malaysia) hanya fokus bahasa Inggeris dan Melayu. 

"YGL akan terjemah modul dan juga menjadi pelatih bersama NSSDC untuk bawa orang dari China dan tempatan sertai program kemahiran ini.

"Kerajaan mahu NSSDC ini jadi satu pusat bagi pelabur cari bakat atau pekerja berkemahiran yang sesuai dengan kehendak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani MoU antara NSSDC dan YGL di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Sembilan (NSSDC), Mantin, di sini.

Tambahnya lagi, setiap permasalahan yang berlaku terutamanya sektor perkilangan akan dikaji bagi memajukan industri tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif NSSDC, Encik Alias Mohd Nadzri berkata, inisiatif ini memberi peluang kepada NSSDC mempamerkan fungsi mereka dalam membantu sektor itu maju ke hadapan.

Menurutnya, pihak YGL akan membantu dari segi logistik, perisian (software) dan perkara yang berkaitan.

Turut hadir adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Tuan Mokhtar Haji Ahmad.