TIADA KES 2019-nCoV DI HTJ, NEGERI SEMBILAN

Selasa, 27 Januari 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/3

SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan menafikan kononnya terdapat kes 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dato' Dr Zainudin Mohd Ali menegaskan bahawa dakwaan digembar-gemburkan menerusi media sosial pada hari ini, adalah tidak benar.

"Saya ingin merujuk kepada posting di social media mengatakan HTJ mempunyai kes 2019-nCoV yang menular sekarang.

"Dimaklumkan sehingga 26 Januari 2020, Hospital Tuanku Ja'afar Seremban tak ada kes 2019-nCoV ataupun Wuhan Virus.

"Negeri Sembilan keseluruhannya juga tak ada kes tersebut," katanya dalam satu kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial membabitkan dua screenshot, seakan-akan petikan perbualan oleh individu tertentu dalam aplikasi WhatsApp.

Perbualan itu berbunyi seperti pesanan antara satu sama lain agar lebih berhati-hati, ekoran ada seorang pesakit yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV dikatakan bakal masuk ke Wad 8C.