SUNGAI LINGGI BAKAL JADI SANTUARI BUAYA

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Ahad, 27 Januari 2019 

PORT DICKSON:  Sungai Linggi telah dipilih sebagai santuari bagi tujuan pembiakan dan pemeliharaan buaya untuk kawasan Semenanjung.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, persetujuan tersebut dinyatakan oleh Kerajaan Persekutuan kira-kira enam bulan lalu.

Sehubungan itu katanya, Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson telah mencari lokasi yang sesuai untuk pelaksanaannya.

"Mereka telah kenal pasti satu tapak seluas setengah ekar untuk diberikan kepada Perhilitan, bagi memastikan perkara tersebut jadi kenyataan. 


"Ini merupakan petanda yang baik kepada penduduk di sini, kerana (usaha berkenaan) akan menjadi suatu tarikan (pelancongan).

"Kita harap pelancong dapat tinggal lebih lama di Port Dickson. Sehari mereka berada di lautan, selepas itu boleh menyusur sungai untuk lihat buaya dan kelip-kelip," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Menyusur Sungai Linggi bersama Ahli Parlimen Port Dickson, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Dataran Tanjung Agas, di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik dan Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, Tuan Mohd Khidir Majid. 

1/4