JABATAN KERAJAAN DALAM PEMANTAUAN MB

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Sabtu, 26 Januari 2019 

SEREMBAN:  "Kita lihat ada jabatan (kerajaan) yang proaktif dan ada jabatan (kerajaan) yang kurang proaktif. 

 

"Jadi semua itu (memang) dalam 'radar' saya untuk diperbetulkan. Insya-Allah, kita akan beri (tempoh) masa yang sesuai.

 

"Saya juga sentiasa maklumkan pada ketua-ketua jabatan mengenai masalah dihadapi (orang ramai)," tegas Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

 

Demikian respons beliau ketika diminta mengulas berhubung kritikan keras yang dilemparkan segelintir netizen terhadap dirinya dalam alam siber.


Antara rungutan yang sering kedengaran membabitkan rumput panjang di sepanjang bahu jalan, longkang pecah dan tersumbat, masalah anjing liar, jalan berlubang, pembuangan sampah secara haram dan pelbagai lagi.

 

Sehubungan itu, Aminuddin mengingatkan pegawai kerajaan yang terlibat agar lebih sensitif dengan setiap aduan dikemukakan orang ramai.  

 

"Saya pun tak menyalahkan netizen yang buat komen. Sebaliknya, saya mengalu-alukan (lagi) komen-komen tersebut.

 

"Kadang-kadang mereka dah buat aduan (ikut saluran sepatutnya), tapi tak diambil serius. Kalau semua aduan dapat diselesaikan dengan baik, rasanya perkara macam ini takkan berlaku," katanya. 

 

Menurut Aminuddin, beliau juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik misalnya turun sendiri ke lokasi untuk memotong rumput, sekiranya masih tiada perubahan positif.

 

"Kalau macam itu yang mereka (jabatan kerajaan) nak, insya-Allah saya akan buat. Kalau mereka tak beri respons. 

 

"Jadi saya harap, mudah-mudahan mereka dapat beri respons. Jangan sampai berlaku perkara yang akan memalukan jabatan (kerajaan) sendiri. 

 

"Saya minta ketua-ketua jabatan supaya jaga nama baik jabatan masing-masing, untuk kepentingan rakyat Negeri Sembilan," katanya. 

 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat, Seremban, di sini.

1/4