ISTERI WAKIL ATAS PERMINTAAN PIHAK SEKOLAH

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Rabu, 27 Februari 2019 

1/3

SEREMBAN: "Saya dah maklumkan tak dapat hadir, tapi pihak sekolah minta agar isteri mewakili saya. Sebab (pada) peringkat awal jemputan itu, ditujukan kepada saya dan isteri.

"Jadi saya rasa tak ada masalah. Sesiapa pun boleh pertikaikan apa-apa aktiviti tapi bagi saya yang penting, aktiviti sekolah (terbabit) berjalan lancar," ujar Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rasional di sebalik tindakannya memilih Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof selaku wakil pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan dan Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-28 di SMK Dato' Haji Mohd Redza, di sini.

Menurutnya lagi, beliau tidak dapat hadir ke program berkenaan kerana dipanggil mengadap ke istana.

Justeru kata Aminuddin, pihaknya berharap agar benda kecil sebegitu tidak dijadikan isu memandangkan banyak lagi perkara lain yang perlu dikaji.

"Sebelum ini pun ada juga isteri-isteri (pemimpin) yang mewakili pihak suami dalam program tertentu.

"Contohnya program mengaji, program (membabitkan hal ehwal) wanita. Kenapa itu tidak dipertikaikan?" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan dan Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-13 di SMK Warisan Puteri, Sikamat, di sini. 

Sebelum ini tular di alam siber apabila seorang pemilik akaun Facebook didapati mempertikaikan perbuatan Menteri Besar yang menghantar isteri sebagai wakil dalam urusan rasmi.

Menurut individu terbabit, perbuatan itu dianggap tidak bijak kerana sepatutnya yang dipilih sebagai wakil adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar atau dalam kalangan Exco.