CARI JALAN PERCEPAT PROSES KELULUSAN URUSAN TANAH

Khamis, 26 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/3

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sedang mencari jalan bagi mempercepatkan proses kelulusan Kebenaran Merancang dan urusan tanah, khususnya melibatkan pertukaran syarat tanah dan premium.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pihaknya telah berbincang mengenai cara yang perlu diambil bagi mempercepatkan kelulusan tersebut serta menyegerakan penyampaian kelulusan kepada pemohon.

"Tujuan kita adalah ingin percepatkan segala urusan di peringkat Pejabat Tanah dan Galian (PTG), kemudian dibawa ke mesyuarat Exco supaya (tempoh memproses) permohonan ini dapat dikurangkan.

"Sebab kita dapat makluman bahawa sebelum ini, proses tersebut mengambil masa yang agak lama.

"Jadi, kita sedang kaji dan lihat (cara) untuk pastikan permohonan tersebut dapat diringkaskan atau pun dikurangkan tempoh (menunggu) mereka (apabila) memohon sesuatu daripada pihak Kerajaan Negeri," katanya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, proses berkenaan masih mengikut syarat yang ditetapkan walaupun tempoh masa menguruskannya diringkaskan.

"Syarat tetap ada, cuma kita percepatkan proses supaya tak berlaku lagi kelewatan. Contohnya kalau kita ambil permohonan yang dah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), kadang-kadang ambil masa lebih kurang 10 hari baru sampai kepada pemohon.

 

"Sepatutnya dalam tempoh dua tiga hari atau pun seminggu dah sampaikan (kepada pemohon). Maka perkara ini akan dipendekkan (dipercepatkan).

"Begitu juga dengan Kebenaran Merancang (pembangunan perumahan dan industri). Hari ini (semalam), kita dah minta supaya setiap majlis daerah atau pun pejabat daerah yang terima Kebenaran Merancang supaya buat kronologi untuk kita tahu pergerakan proses itu," katanya.