SLOGAN 'BERSIH MUAFAKAT DAN SEJAHTERA' JADI TERAS PEMBANGUNAN NS

Rabu      26 September 2018       

26 sep -2-1.jpg

SEREMBAN: Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan slogan ‘Bersih, Muafakat dan Sejahtera’ dalam memacu hala tuju pembangunan negeri ini.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, kerangka pembangunan itu yang meliputi tempoh 2019 hingga 2040 akan membabitkan semua daerah berpandukan keperluan ekonomi semasa di pelbagai sektor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat berkata, kerajaan negeri akan mengkaji lebih terperinci bagi menambah baik projek Lembah Wawasan Malaysia (MVV) yang diumumkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) oleh kerajaan terdahulu.“Projek MVV ini dilihat lebih tertumpu di kawasan Seremban, Nilai dan Port Dickson tetapi kita mahu pembangunan menyeluruh dilakukan termasuk di daerah

lain dan kawasan luar bandar.

“Malah, pembangunan dalam sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan akan turut diberikan perhatian dalam usaha mempertingkatkan sosio-ekonomi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) pada persidangan kedua penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14, di sini.

Mohamad meminta jawapan lebih komprehensif, selain mempersoalkan perubahan ingin dilakukan kerajaan negeri terhadap projek MVV.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri menjelaskan secara terperinci kerangka pembangunan yang dirancangkan itu pada sidang DUN dan pembentangan belanjawan akan datang.

Menjawab soalan lain, beliau berkata, kerajaan sedang membuat kajian terperinci berhubung status tanah perumahan daripada pajakan kepada hak milik kekal seperti dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Langkah ini memerlukan kajian teliti, bukan boleh dibuat dalam sehari dua atau sebulan dua. Kita kena ambil masa dalam tempoh lima tahun,” katanya menjawab soalan ADUN Mambau, Yap Yew Weng.