PERKASA SEKTOR PELANCONGAN

Rabu     26 September 2018       

26 sep 1-1.jpg

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan berusaha mengekplotasi sebaik mungkin kekuatan dan kelebihan produk tarikan pelancong sedia ada supaya ia dapat menyumbang secara optimum kepada ekonomi negeri.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun pengwujudan kawasan dan produk baharu amat memerlukan kerjasama dan pembabitan menyeluruh pihak swasta.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, selain Port Dickson yang menjadi tarikan utama, kerajaan negeri turut memberikan perhatian kepada bidang eko-pelancongan yang berpotensi menarik ramai pelancong.

"Antara produk eko-pelancongan sedia ada termasuk Taman Negeri Kenaboi di Jelebu, Hutan Edu-Eco Sungai Menyala di Port Dickson, Gunung Angsi di Kuala Pilah, Gunung Datuk di Rembau dan tarikan Taman-Taman Eko Rimba yang unik serta mempunyai kehijauan alam semula jadi yang masih terpelihara.

"Kerajaan negeri akan mengambil pelbagai langkah proaktif dalam memastikan negeri ini jadi tarikan utama pelancong termasuk mempergiatkan promosi, menambah baik produk dan mengadakan aktiviti bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau menjawab soalan ADUN Bagan Pinang, Datuk Haji Tun Hairudin Abu Bakar pada persidangan kedua penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14, di sini.

Aminuddin juga berkata, aktiviti membabitkan keunikan budaya dan adat negeri khususnya Adat Perpatih juga akan terus diketengah dan diperhebatkan bagi menarik pelancong.

"Usaha ini turut membabitkan peranan dan kerjasama masyarakat sebagai penggiat ke arah menggalakkan kedatangan pelancong berasaskan adat budaya yang unik di Negeri Sembilan," katanya.