PUSAT HENTIAN SETEMPAT DIWUJUDKAN DI JEMPOL

Isnin, 26 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
 

1/2

SEREMBAN: Satu Pusat Hentian Setempat akan diwujudkan di daerah Jempol dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, kedudukannya yang strategik bakal memberi manfaat kepada 130,700 penduduk luar bandar di situ khususnya warga Felda.

Menurutnya, langkah proaktif berkenaan diambil selepas Kementerian Pembangunan Luar Bandar memutuskan untuk menyerahkan RTC Negeri Sembilan di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri sepenuhnya.

Tambahnya lagi, ketiadaan peruntukan yang diluluskan untuk membina bangunan RTC baharu juga menjadi salah satu faktor.

Keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) pada 30 Julai lalu.

"Lokasi yang telah dikenal pasti adalah di tapak Kuarters Timbalan Pentadbir Tanah Daerah Jempol berkeluasan 4,800 meter persegi, terletak dalam kawasan Pusat Pentadbiran Daerah Jempol.

"Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menempatkan Jabatan Imigresen Malaysia (Cawangan Jempol) terlebih dulu bagi fasa pertama.

"Pada masa kini, kerja-kerja bangunan sedang dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan YB Dato' Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Serting) yang ingin tahu tindakan Kerajaan Negeri sehingga hari ini berikutan RTC Jempol masih belum dilaksanakan.