CADANG TEMPATKAN STESEN ECRL DI NILAI

Isnin, 26 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
 

1/2

SEREMBAN: Nilai menjadi salah satu lokasi yang sedang dipertimbangkan di Negeri Sembilan untuk dibangunkan stesen bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Perkara itu diketengahkan pada sesi perbincangan pertama antara Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berhubung opsyen laluan terkini ECRL, pada 8 Ogos lalu. 

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, pihaknya melihat kewujudan laluan ECRL ke Nilai sebagai satu jaringan perhubungan yang baik sekiranya dapat direalisasikan.

"Kerajaan Negeri telah mohon melalui Kementerian Pengangkutan untuk memasukkan (kawasan) Nilai.

​​

"Alhamdulillah buat masa ini dalam perancangan ini, telah dimasukkan (kawasan) Nilai sebagai salah satu (opsyen untuk) stesen baru.

"Kita harap, Nilai akan jadi satu tempat sebagai (lokasi) transit dan kita harap (juga) Nilai akan dapat terus dibangunkan dengan lebih aktif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan YB Tuan Yap Yew Weng (PH-Mambau) pada Persidangan Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Yew Weng ingin tahu mengenai perancangan Kerajaan Negeri untuk mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menempatkan stesen baharu ECRL di kawasan Labu dan Nilai.

Dalam pada itu, kata Aminuddin, Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa jajaran keretapi masih belum dimuktamadkan kerana kajian terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Bagaimanapun menurutnya, opsyen laluan terkini yang dibentangkan oleh MRL merangkumi dua stesen di Negeri Sembilan iaitu Kuala Klawang dan Nilai. 

 

"Sesi taklimat opsyen laluan terkini akan dibentangkan kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 18 September 2019," katanya semasa menjawab pertanyaan awal Yew Weng.

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama syarikat MRL sedang meneliti beberapa opysen laluan yang telah dicadangkan oleh syarikat China Communications Constructions Company Limited (CCCC) selaku kontraktor utama projek ECRL.