TUBUH BBC BANTU PENTADBIRAN KERAJAAN

Isnin, 26 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol


 

1/1

SEREMBAN: Sebuah kelab penyokong kerajaan atau dikenali sebagai 'backbencher council' (BBC) diwujudkan bagi membantu melancarkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, penubuhan BBC akan membantu Kerajaan Negeri dalam melaksanakan sebarang bentuk pembangunan serta penyampaian maklumat kepada masyarakat.

"Mereka (ahli BBC) bertanggungjawab menyalurkan maklumat kepada masyarakat dan kita maklum bahawa mereka paling rapat dengan masyarakat setempat hari ini. (Justeru)  dengan adanya BBC ini, akan merapatkan lagi hubungan baik itu," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah yang juga Setiausaha BBC, YB Tuan Yek Diew Ching berkata, keputusan penubuhan jawatankuasa ini dibuat ketika mesyuarat yang diadakan pada 17 Ogos lalu.

"Kita memang sokong dasar-dasar kerajaan dan kita akan bantu jalankan tugas yang ditentukan oleh Exco Kerajaan serta Menteri Besar. Jadi, kita akan berusaha bersama demi kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

BBC dipengerusikan oleh ADUN Seremban Jaya, YB Tuan P Gunasekaren manakala Naib Pengerusi disandang ADUN Lenggeng, YB Tuan Haji Suhaimi Kassim bersama ADUN Temiang, YB Tuan Ng Chin Tsai.

Jawatan Bendahari pula disandang oleh ADUN Mambau, YB Tuan Yap Yew Weng manakala ADUN Lobak, YB Tuan Chew Seh Yong dan ADUN Rahang, YB Puan Mary Josephine Prittam Singh, masing-masing menyandang posisi Ketua Penerangan dan Ketua Wanita.