PELABURAN NEGERI SEMBILAN MENINGKAT 103 PERATUS

Isnin, 26 Ogos 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
 

1/1

SEREMBAN: Negeri Sembilan merekodkan jumlah pelaburan memberangsangkan iaitu sebanyak RM2.86 bilion pada tahun lepas, berbanding RM1.41 bilion pada tahun 2017. 

 

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dr Mohamad Rafie Ab Malek (PH-Ampangan) berkata, peningkatan dicapai adalah sebanyak 103 peratus.

"Daripada jumlah tersebut, sektor pembuatan mencatatkan pelaburan sebanyak RM2.43 bilion pada tahun 2018 berbanding RM1.11 bilion pada tahun 2017. Peningkatan (sebanyak) 119 peratus.


 

"Jumlah pelaburan bagi sektor perkhidmatan pula sebanyak RM430 juta pada tahun 2018 berbanding RM303 juta pada tahun 2017. Peningkatan (sebanyak) 42 peratus," katanya.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri terus komited untuk memastikan pembangunan Negeri Sembilan seiring dengan matlamat 'Negeri Maju'.

Antara usaha dilaksanakan adalah dengan menubuhkan Perbadanan NS melalui Enakmen Perbadanan NS Tahun 2018.

"Perbadanan NS akan memainkan peranannya dengan memberikan tumpuan kepada menggalakkan pelaburan ke Negeri Sembilan berdasarkan pelan yang telah dirancang.

"Perbadanan NS juga berperanan untuk mengkaji dan menarik pelaburan yang berpotensi dan boleh memberi manfaat kepada rakyat, khususnya mewujudkan pekerjaan dan menambah pendapatan rakyat," katanya.

Tambahnya, begitu juga dengan perancangan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV2.0) yang telah dikemas kini dan sedang dilaksanakan.

"Perbadanan NS akan memainkan peranan utama untuk bertindak sebagai central agency bersama-sama pemaju, dalam memastikan MVV2.0 dilaksanakan sebagaimana dirancang dan menjadi katalis kepada pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.

"Pada masa yang sama, perancangan menyeluruh di daerah-daerah lain akan dilaksanakan untuk menarik pelabur dan memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri," katanya.  

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan YB Dato' Seri Haji Mohamad Hasan (BN-Rantau) mengenai prestasi pelaburan sektor pembuatan Negeri Sembilan sehingga kini dan peranan dimainkan oleh NS Corp untuk menggalakkan pelaburan di Negeri Sembilan.

Soalan itu diajukan pada Persidangan Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.