TABAH SEBAGAI 'ONE-STOP CENTRE' MAHASISWA NEGERI SEMBILAN

Isnin, 26 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH & Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/4

SEREMBAN: Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH) berperanan sebagai pusat sehenti atau 'one-stop centre' bagi menyelaras aktiviti mahasiswa Negeri Sembilan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, TABAH berada di bawah seliaan Pejabat Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan.

Menurut Aminuddin, fungsinya untuk menggerakkan aktiviti belia termasuk mahasiswa bagi memastikan pemerkasaan golongan terbabit dapat ditingkatkan. 

"Lima kluster TABAH iaitu pendidikan; kemahiran; kerjaya; sukarelawan dan penyelidikan amat signifikan dengan pemerkasaan mahasiswa dalam melahirkan mahasiswa yang lebih cemerlang dan unggul.

"Pusat ini juga akan jadi platform terbaik buat mahasiswa meningkatkan keterampilan mereka dalam menyediakan pelapis pemimpin pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Himpunan Mahasiswa Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Paroi, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Tuan Haji Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, TABAH yang merupakan cetusan idea Menteri Besar Negeri Sembilan mula dilaksanakan pada bulan ini. 

​​

Menurutnya, Himpunan Mahasiswa Negeri Sembilan adalah projek pertama di bawah anjuran TABAH.

"Saya yakin, TABAH akan jadi platform terbaik bagi belia dan mahasiswa untuk bersama kerajaan dalam membangunkan golongan ini demi masa depan yang lebih baik.

"Kita sangat berlapang dada untuk menerima sebarang idea; teguran dan apa jua pandangan untuk pembangunan belia dan mahasiswa Negeri Sembilan," katanya.