TINGKATKAN PENGHAYATAN ISLAM DALAM MASYARAKAT

Oleh: Mohd Amin Jalil          Isnin, 26 November 2018 

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyasarkan agar 70 peratus umat Islam di negeri ini dapat melaksanakan tanggungjawab mengerjakan solat lima waktu dan memahami kandungan Surah Al-Fatihah.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat sekitar 20 peratus daripada kira-kira 800,000 penduduk negeri ini yang mendirikan solat dengan sempurna.

Justeru katanya, usaha mempertingkatkan pembangunan sumber manusia dalam kalangan petugas institusi agama bagi menjayakan gerakan dakwah perlu dilakukan supaya mereka bersedia berkhidmat dengan ikhlas serta dapat menyantuni umat.

“Dalam tempoh lima tahun, kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan 70 peratus umat Islam di negeri ini mengerjakan solat lima waktu dan memahami kandungan Surah Al-Fatihah.

“Sasaran itu merupakan sebahagian daripada keutamaan kerajaan negeri bagi melahirkan insan yang berpegang teguh kepada ajaran Islam sepenuhnya.

"Sasaran ini mungkin nampak mudah, namun ia perlu dirancang dan dilaksanakan dengan strategi dan kaedah yang berkesan," katanya ketika merasmikan program Tafaqquh Perdana 2018 di Klana Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Mufti Negeri Sembilan, Datuk Haji Mohd Yusof Ahmad dan Timbalannya, Ustaz Amran Awaluddin.

Aminuddin yang juga EXCO Agama Islam negeri berkata, menjadi harapan kerajaan agar masyarakat Islam negeri ini termasuk generasi muda memiliki sahsiah dan jati diri yang tinggi.

"Inilah impian kerajaan negeri yang perlu dirancang dan dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak termasuk institusi di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), serta masjid dan surau.

"Semua pihak perlu menjurus kepada impian ini dan elakkan daripada perkara-perkara remeh yang boleh menyebabkan matlamat itu tersasar," katanya.

Beliau yakin dan percaya program berkenaan amat baik dalam meningkatkan penghayatan umat Islam terhadap konsep maqasid syariah yang bersumberkan Al-Quran dan Al-Sunnah.