MASALAH BEKALAN AIR DI PD/SEREMBAN SELESAI PAGI ESOK

Oleh: Mohd Amin Jalil          Isnin, 26 November 2018 

SEREMBAN: Masalah bekalan air yang menjejaskan kira-kira 34,000 pemegang akaun di seluruh Port Dickson dan sebahagian Seremban akan dapat diselesaikan menjelang jam 8 pagi esok.

 

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun memberi jaminan bahawa masalah bekalan air berkenaan dijangka selesai secara berperingkat bermula malam ini.

 

Katanya, masalah itu berpunca daripada tebing sungai di kawasan berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, Kuala Sawah yang pecah susulan hujan lebat dan air deras sejak Khamis lalu.

 

"Walaupun tebing itu sudah diperbaiki oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, tetapi ia runtuh semula kira-kira dua jam selepas disiapkan akibat arus deras.

"Justeru, tebing kekal dibina bagi mengatasi masalah tersebut dan insya-Allah selesai pada malam ini. 

 

"Saya yakin bekalan air akan pulih menjelang pagi esok. Ini satu bencana yang tidak dapat dielakkan hingga mengakibatkan sauk air tidak dapat berfungsi.

 

"Saya ucapkan terima kasih pada JPS; JKR; SPAN dan SAINS yang bekerjasama menangani masalah ini," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di LRA Sungai Linggi, di sini, hari ini.

 

Hadir sama adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dr Razali Ab Malek.

 

Menurut Aminuddin, sebanyak 108 lori tangki dari beberapa negeri digerakkan untuk menghantar air ke rumah penduduk terlibat sebagai pelan kontingensi.

 

"Saya ucapkan terima kasih pada Syarikat Air Selangor yang hantar 20 kontena air; Lembaga Air Perak dua; Syarikat Air Johor empat; Melaka tiga dan Kelantan dua.

 

"Pahang; Kedah; Pulau Pinang dan Terengganu pula masing-masing menghantar satu kontena, manakala SAINS menyediakan tujuh kontena selain menyewa dengan pelbagai agensi lain," katanya.