KUTIPAN HASIL NEGERI SEMBILAN MENINGKAT LEBIH RM20 JUTA

Rabu, 26 Jun 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Nurul Haryani Hasrol
Foto: Nabilsyafiq MH

SEREMBAN: Kutipan hasil Negeri Sembilan meningkat lebih RM20 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, hasil kutipan diperoleh pada kali ini bagi tempoh berkenaan adalah sebanyak RM270 juta.

Menurutnya, kutipan hasil untuk keseluruhan tahun 2018 juga menunjukkan perkembangan positif apabila melebihi sasaran ditetapkan.

"Tahun lepas kita dapat (hasil kutipan sebanyak) RM421 juta. Itu kita sasarkan RM412 juta, tapi kita (cecah) sampai RM421 juta," katanya.

Justeru bagi tahun ini pula katanya, Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan jumlah kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM430 juta.

"Tahun ini kita sasar (kutipan) RM430 juta, (tapi) kita yakin dapat RM435 juta minimum. Insya-Allah, kita doa.

"Saya yakin dengan pegawai-pegawai yang ada hari ini. (Tambah lagi) selepas retreat dengan semangat mereka, saya yakin mereka akan buat kutipan lebih baik lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Penguatkuasa Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2019 di pekarangan Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik dan Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, YB Mohd Khidir Majid.