DAKWAH MELALUI KULINARI

Jumaat, 26 Julai 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/5

SEREMBAN: Penyebaran dakwah melalui kulinari merupakan satu kaedah yang dapat menghubungkan silaturahim tanpa mengira bangsa dan agama. 

Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Dato' Haji Kamal Amran Kamarudin berkata, pendekatan ini dapat menyemarakkan usaha dakwah terutamanya dalam kalangan masyarakat bukan Islam di negeri ini. 

"Satu cara yang baik untuk hubungkan silaturahim secara tidak formal serta mendapat sokongan pihak MAINS sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis perlancaran Program Harmony Meals by Chef Amann Teoh' (HM-CAT) di Rasah Jaya, di sini, baru-baru ini. 

HM-CAT merupakan program yang diilhamkan oleh Chef Amann Teoh sendiri untuk memperkenalkan keindahan Islam kepada masyarakat bukan Islam khususnya kaum Tionghua. 

Sementara itu, Chef Amann Teoh berkata, pendekatan itu dibuat memandangkan masyarakat Malaysia gemar bercerita mengenai makanan dan minuman. 

"(Makanan) ini tentang kongsi. Kita kena kongsi sesuatu supaya semua suka.

"Bila kita reka makanan kemudian kongsi dan orang pun suka, buat saya mahu berdakwah melalui cara ini," katanya. 

Tambahnya lagi, kemampuan untuk berkongsi merupakan satu rahmat yang besar dan harus dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. 

Dakwah ini dilaksanakan melalui apresiasi makanan Cina tulen (Authentic Chinese Cuisines) yang disediakan sendiri oleh Chef Amann Teoh selaku tukang masak Cina Muslim terkenal.