PROTON X70 GAMIT MINAT MENTERI BESAR

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Sabtu, 26 Januari 2019 

SEREMBAN: Pesona dimiliki Proton X70 yang baru sahaja dilancarkan pada 12 Disember lalu nyata bukan sembarangan, apabila berjaya memukau ramai pihak termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun. 

Kenderaan utiliti sukan (SUV) keluaran Proton Holdings Bhd dengan kerjasama Zhejiang Geely Holding Group, yang ditempah pada bulan lepas itu, akhirnya tiba di kediaman rasmi beliau sekitar jam 2.30 petang semalam.

Bercerita serba ringkas berhubung pembelian kenderaan tersebut, kata Aminuddin, tempahan telah dibuat dengan pengedar Proton bagi cawangan Nilai.

​​

"Proton ada perkenalkan pada saya kereta ini, sebelum dilancarkan secara rasmi. Sehari selepas pelancaran pula, mereka tunjukkan pada saya kereta contoh untuk pandu uji.     

"Nampaknya memang sebuah kenderaan yang baik dan banyak kelebihan. Salah satu faktor buat saya tertarik, disebabkan enjinnya yang dibina berteraskan teknologi Volvo.

"Paling penting, harganya amat berpatutan dan mampu milik kalau nak dibandingkan dengan kualiti serta spesifikasi ditawarkan," katanya ketika dihubungi NS Daily, di sini.

Selain menyokong kenderaan nasional buatan negara, kata Aminuddin, jenama Proton sememangnya dekat di hati beliau sejak sekian lama. 

"Dulu saya ada Proton Wira. Bila dah habis bayar, saya beli pula Proton Exora. Memandangkan ansuran bulanan Proton Exora dah selesai pada Julai tahun lepas, saya pun beli Proton X70.

"Saya akan gunakannya untuk tujuan tak rasmi, misalnya keluar bersama keluarga. Selain itu, kereta ini juga akan jadi pengangkutan utama untuk anak perempuan saya ke tempat kerja di Port Dickson," katanya.

1/4