MB TIDAK PERNAH SEBUT 15 TAHUN

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Selasa, 26 Februari 2019 

1/3

SEREMBAN: "YAB (Menteri Besar) Dato' Seri Haji Aminuddin Harun sama sekali tak pernah kata bahawa Dr S Streram berkhidmat lebih 15 tahun di Dun Rantau.

"Sebaliknya, Menteri Besar menyatakan Dr S Streram telah berkhidmat selama berapa tahun di Dun itu," ujar Setiausaha Politiknya, Tuan Mokhtar Haji Ahmad.

Demikian respons beliau terhadap laporan Sinar Harian bertajuk 'PRK Rantau: Nafi Streram ditolak sebagai calon' yang bertarikh 25 November 2018.

Walaupun diterbitkan di Sinar Harian, katanya, namun sumber asal laporan berkenaan telah diambil dari Bernama.

"Jadi, kita mohon pada Bernama dan agensi berita lain (sekiranya terlibat) untuk buat pembetulan fakta tersebut," katanya.

Tujuan penjelasan itu untuk menepis tanggapan pihak tertentu, kononnya Menteri Besar sanggup menipu bagi memastikan Streram dapat jadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau.

Penelitian NS Daily terhadap rakaman sidang media bertarikh 24 November 2018, turut membuktikan bahawa Menteri Besar tidak pernah menyebut perkataan 'lebih 15 tahun'.

Sebaliknya, kata-kata beliau pada sidang media yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sikamat, di sini, selepas menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Cemerlang 2018 adalah berbunyi:

 

"Dr Streram kalau dia kata itu bukan calon tempatan, dia sekarang Timbalan Ketua Cabang (Rembau). Patutnya dia (Cabang Rembau) dah tolak ketika pemilihan Ketua Cabang hari itu.

"Jadi orang itu (Streram) dah bekerja berapa tahun di Negeri Sembilan. Dah berulang-alik dan telah memberikan khidmat bakti kepada masyarakat di Rantau dan di Rembau, dan akhirnya dapat jawatan Timbalan Ketua Cabang" katanya.

Demikian petikan kata-kata beliau ketika menjawab soalan diutarakan oleh Ketua Biro Utusan Malaysia Negeri Sembilan, yang boleh didengar sekitar minit 10:20 hingga minit 11:00.

 

Bagi menjernihkan keadaan, pihak Bernama telah membuat pembetulan melalui berita bertarikh 25 Februari 2019 yang bertajuk 'Streram berkhidmat beberapa tahun di Rantau bukan 15 tahun - Aminuddin'.

Dalam laporan itu, dinyatakan bahawa Aminuddin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan menegaskan tidak pernah mengeluarkan kata-kata bahawa Streram telah berkhidmat selama lebih 15 tahun di Dun Rantau.

Sebaliknya beliau berkata, hanya mengeluarkan kenyataan bahawa pakar bius itu telah berkhidmat di kawasan berkenaan selama beberapa tahun.