SEDIA PERTIMBANG SKIM BANTUAN BAPA TUNGGAL

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Jumaat, 26 April 2019 

SEREMBAN : Kerajaan Negeri Sembilan sedia mempertimbangkan skim bantuan untuk bapa tunggal, sekiranya ada keperluan untuk perkara tersebut diwujudkan. 

Menurut Exco Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon, setakat ini belum ada lagi bantuan sebegitu dilaksanakan.

"Sebenarnya tak ada bantuan untuk bapa tunggal. Walau bagaimanapun, kita akan pertimbangkan jika ada keperluan.

"(Tapi) setakat ini tak ada apa-apa. Kita tak menerima apa-apa permohonan. Jadi kalau ada (permohonan), memang kita akan sedia membantu," katanya.
 

1/1

Bagaimanapun kata Nicole, buat masa ini pihaknya mempunyai program lain yang dikhususkan untuk golongan lelaki.

"Sekarang kita ada satu program di LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara), namanya PapaCare. Itu sebagai permulaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan YB Yap Yew Weng (PH-Mambau) yang ingin tahu mengenai status Skim Bapa Tunggal.

Persoalan itu diajukan pada hari keempat dalam Persidangan Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, di sini.