PEMBINAAN HOSPITAL PAKAR KEDUA DI PERINGKAT CADANGAN
Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib Jumaat, 26 April 2019
SEREMBAN : Kerajaan Negeri Sembilan bercadang membina hospital pakar kedua di negeri ini, dalam usaha mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada.
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, YB S Veerapan (PH-Repah) berkata, langkah itu sekali gus dapat menangani masalah parkir di hospital.
"Kita telah cadangkan kepada Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan satu hospital kedua di Negeri Sembilan.
"Sekiranya hospital itu dapat dibina, maka kesesakan di hospital kerajaan dapat dikurangkan.
"Saya juga telah buat lawatan ke satu tapak di Bandar Enstek (Nilai), di mana tapak tersebut kepunyaan Kementerian Kesihatan. Satu hospital kedua boleh diwujudkan di sana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dato' Adnan Abu Hassan (BN-Senaling) pada hari keempat dalam Persidangan Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, di sini.
Adnan ingin tahu sama ada Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk mewujudkan sebuah lagi hospital pakar di negeri ini.