KILANG MILO CHEMBONG SEBAGAI TAPAK PEMBUATAN MILO TERBESAR DI DUNIA

Rabu, 25 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/4

REMBAU: Nestle Malaysia hari ini melancarkan Kilang MILO Chembong sebagai tapak pembuatan MILO dan Pusat Kecemerlangan global terbesar di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestle (Malaysia) Berhad, Encik Juan Aranols berkata, sebanyak RM90 juta dilaburkan untuk meningkatkan operasi pembuatan dan penghasilan produk Halal buatan Malaysia yang berkhasiat dan berkualiti tinggi untuk rakyat tempatan.

Menurutnya, kilang itu yang beroperasi sejak tahun 1993 menjadi penyumbang utama ekonomi menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada komuniti tempatan, di samping mempunyai tenaga kerja Nestle paling ramai antara enam kilangnya di Malaysia.

"Kami percaya terdapat peluang ekonomi yang luas di Malaysia. Oleh itu, kami telah melabur secara berterusan untuk mengembangkan perniagaan selama lebih 100 tahun di negara ini.

"Pelaburan sedia ada ini membolehkan kemudahan pembuatan MILO kami mengoptimumkan operasi dan menambah baik produktiviti menerusi automasi dan digital, selain memanfaatkan ekonomi skala," katanya.

Mengulas lanjut, Juan berkata, pengembangan itu melibatkan naik taraf kemudahan pembuatan dengan peralatan pengeluaran lengkap yang moden bagi mengoptimumkan kapasiti dan keberkesanan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing.

"Peningkatan kapasiti sebanyak 30 peratus akan memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat, serta akan di eksport ke lebih 20 negara termasuk China; Singapura; Indonesia; Thailand; Kenya dan Jamaica," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian pusat Kecemerlangan MILO Terbesar di Dunia di Chembong, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Undang Luak Rembau, Dato' Lela Maharaja, Dato' Haji Muhamad Sharip Haji Othman dan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

Turut hadir adalah Timbalan Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Zon Asia, Oceania dan Afrika Sub-Sahara, Nestle S.A, Encik Chris Johnson.

Dalam pada itu, Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pelaburan industri berimpak tinggi seperti Nestle Malaysia menunjukkan keyakinan para pelabur kepada Kerajaan Negeri Sembilan.

"(Pelaburan) perkara ini (secara tidak langsung) membantu dalam menyediakan pembangunan ekonomi sejajar dengan pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 yang dirancang," katanya.

Tambahnya, pembesaran kilang itu akan terus mencipta peluang pekerjaan untuk belia di negeri ini serta memacu peluang yang lebih besar untuk perusahaan tempatan di sepanjang rantaian nilainya.