DANA RM4 JUTA UNTUK PENDUDUK SEKITAR PUSAT KUALITI ALAM

Jumaat, 25 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/3

SEREMBAN: Kumpulan Cenviro Sdn Bhd melancarkan Dana Kelestarian Kualiti Alam berjumlah RM4 juta untuk disalurkan kepada penduduk sekitar Pusat Kualiti Alam Sdn Bhd di Bandar Sri Sendayan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, terdapat hampir 6,000 penduduk mendiami di sekitar pusat itu termasuk Kampung Jimah Lama; Kampung Jimah Baru; Kampung Sendayan; Kampung Gadong Jaya dan Kampung Ladang Tanah Merah.

Menurutnya, pelancaran dana kelestarian itu adalah satu langkah proaktif dalam menangani sebarang isu berkaitan alam sekitar; kesihatan; pencemaran atau isu berpunca dari pengoperasian pusat Kualiti Alam pada masa depan.

"Kita harap pihak Kualiti Alam dapat bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk beri taklimat keselamatan yang bersesuaian kepada sekolah berdekatan.

"Saya yakin inisiatif ini sedikit sebanyak dapat beri jaminan kepada penduduk sekitar yang tinggal berdekatan dengan pusat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dana Kelestarian Kualiti Alam di D'Tempat Country Club, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Cenviro, Dr Johari Jalil berkata, dana tersebut akan ditadbir dan dikawal selia oleh pihak Kualiti Alam bersama Kerajaan Negeri Sembilan dan Jabatan Alam Sekitar (JPS) Negeri Sembilan.

"Kita sambut baik cadangan dari Kerajaan Negeri bagi penubuhan dana kelestarian. Sehubungan itu, kita telah lancarkan dana bernilai RM4 juta.

"Ia adalah komitmen kami kepada Kerajaan Negeri dan juga komuniti setempat. Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menetapkan prosedur yang sewajarnya," katanya.