KAJI PENURUNAN HARGA SILING RUMAH UNTUK WARGA ASING

Jumaat, 25 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/4

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sedang mengkaji penurunan harga siling rumah untuk pembeli warga asing bagi pembelian kediaman yang tidak terjual.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Tuan Teo Kok Seong berkata, kajian itu dibuat untuk memastikan harga siling rumah di negeri ini lebih kompetitif berbanding negeri jiran.

 

Menurutnya, harga siling di Melaka bagi kediaman strata adalah RM500,000 dan kediaman bertanah RM1 juta, manakala bagi kediaman bertanah di Selangor pula RM1 juta.

"Sebelum ini harga siling rumah untuk warga asing (adalah) RM1 juta, tapi Kerajaan Negeri dah naikkan harga kepada RM2 juta sejak Januari lalu.

"(Bagaimanapun) kita terima banyak rungutan daripada pemaju dan pelabur asing, tentang harga siling yang dikenakan terlalu tinggi. Malah ada pemaju beritahu, mereka terpaksa tanggung kerugian apabila banyak rumah tak terjual.

“Cuma setakat ini, kita belum ada harga yang muktamad. Jadi, kita akan adakan sesi dialog dengan pemaju dan pihak yang berkaitan tentang perkara ini. Kita jangka hujung tahun ini akan ada pengumuman harga baru siling rumah untuk warga asing," katanya.

Dalam pada itu, Kok Seong memaklumkan bahawa projek perumahan mampu milik untuk warga tempatan tetap diteruskan, walaupun harga siling rumah untuk milikan asing diturunkan.

Katanya, melalui Dasar Perumahan Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri menetapkan syarat bahawa pemaju perlu menyediakan 50 peratus rumah mampu milik bagi projek melebihi 10 ekar, manakala 30 peratus bagi projek keluasan kurang daripada 10 ekar.

"Masyarakat tak perlu bimbang, (kerana) keperluan rumah mampu milik di negeri ini akan diteruskan seperti biasa bagi memenuhi permintaan rakyat. Warga asing tak boleh beli rumah mampu milik, jadi tak perlu risau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, tempoh hari.