425 'BILLBOARD' HARAM DIKENAL PASTI SEPANJANG LEBUHRAYA PLUS

Jumaat, 25 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Foto: Ihsan Majlis Perbandaran Nilai

1/5

NILAI: Majlis Perbandaran Nilai (MPN) telah mengenal pasti 425 buah paparan iklan luar (billboard) yang dibina secara haram di tepi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Yang Dipertua MPN, YB Dato' Haji Zazali Salehudin berkata, pihaknya telah mengambil tindakan penguatkuasaan mulai 1 April hingga 21 Oktober lalu.

Menurutnya, sebanyak 954 kompaun telah dikeluarkan dengan jumlah RM358,500.

"Antara kesalahan dikenal pasti adalah mempamerkan iklan tanpa lesen di bawah UUK 6 (1) Undang-Undang Kecil Iklan, MPN dengan jumlah kompaun sebanyak RM250 serta mendirikan binaan tanpa kebenaran majlis di bawah Sekyen 70 (1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974.

"Selain itu, majlis juga telah mengeluarkan Notis Roboh sebanyak 491 di bawah Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974," katanya.

Dalam pada itu, Zazali berkata, pemilik paparan iklan luar (billboard) perlu mengemukakan permohonan dan mendapatkan kelulusan bagi binaan paparan iklan di Unit Pusat Sehenti (OSC) MPN sebelum permohonan lesen iklan.

Tambahnya, pemilik tanah juga diingatkan agar berhati-hati untuk menyewakan tanah mereka kepada syarikat pengiklan agar tidak melanggar syarat nyata tanah.

"Sehingga 21 Oktober, pihak MPN telah robohkan 9 unit 'billboard' pada Fasa 1; 16 unit pada Fasa 2; 17 unit pada Fasa 3.

"(Manakala) 20 unit pada Fasa 4 dan 7 unit pada Fasa 5 (sedang berjalan di tapak) dengan jumlah keseluruhan 69 unit billboard dirobohkan di Lebuhraya PLUS.

"Fasa seterusnya, pihak MPN akan robohkan kesemua 'billboard' tanpa kelulusan secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra bersama Media di MPN, di sini, semalam.