TAHAP KESIHATAN ADUN PILAH SEMAKIN BAIK

Khamis         25 Oktober 2018          

25 oct 1-1.jpg

SEREMBAN: Tahap kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, YB Mohamad Nazaruddin Sabtu, 62, masih dalam keadaan baik dan mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat seperti biasa.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun menegaskan, Mohamad Nazaruddin yang juga Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, masih berupaya menjalankan tugas sebagai EXCO dan turut hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Katanya, bagaimanapun beliau masih dalam proses menerima rawatan dan ada memohon cuti.

"Beliau sedang berubat dan kita memberi masa padanya untuk menjalani rawatan dengan baik supaya dapat pulih daripada masalah kesihatan yang dihadapinya.

"Kita (ahli-ahli EXCO yang lain) sentiasa membantu beliau untuk memastikan tugasan harian berjalan seperti biasa.

"Saya yakin dan mendoakan beliau pulih sepenuhnya dan Insya-Allah beliau akan dapat menjalankan amanah dengan lebih baik," katanya selepas menyempurnakan Majlis Graduasi di Dewan Harmoni Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin, di Mantin.

Turut hadir isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof dan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Haji Pkharuddin Haji Ghazali.

Aminuddin turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pihak yang mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak sihat terhadap Mohamad Nazaruddin.

"Sepatutnya kita berfikiran positif dan mendoakan kesihatan beliau supaya cepat sembuh serta dapat menjalankan tugas dengan sempurna.

"Tetapi mereka dilihat cuba mengambil kesempatan dengan kenyataan yang tidak sihat dan ini suatu tindakan tidak bertanggungjawab dengan mencari peluang terhadap orang yang kurang sihat," katanya.