GOLONGAN B40 DIGESA DAFTAR PeKa B40

Ahad, 25 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/4

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menggesa golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) supaya mendaftar Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) yang diperkenalkan pada 15 April lalu.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, sehingga kini hanya seramai 2,044 orang golongan B40 di negeri ini mendapat manfaat skim tersebut berbanding jumlah sasaran seramai 34,848 orang.
 
"Kita memang galakkan supaya isi (mohon) kerana ini merupakan satu insentif yang harus diguna pakai (oleh) golongan yang layak (B40) untuk berada dalam program tersebut.

"Kita nak mereka yang layak mendapat bantuan, (serta) diberi maklumat yang tepat tentang bantuan ini.

"(Pada masa yang sama) matlamat kementerian kesihatan adalah untuk membelanjakan semua peruntukan sedia ada ini kepada mereka yang layak menerima," katanya.

Sehubungan itu, kata Aminuddin, Kerajaan Negeri akan meminta Ketua Kampung, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pihak yang terlibat mempromosikan skim PeKa B40 ini kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Karnival Kesihatan, Hari Bersama Pelanggan dan Perasmian Klinik Kesihatan Sikamat di Klinik Kesihatan Sikamat, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Tuan S Veerapan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dato' Dr Zainudin Mohd Ali.

PeKa B40 merupakan antara program yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi membantu golongan yang memerlukan rawatan perubatan terutama sekali penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).