USIM TABUR BAKTI DI DUN SIKAMAT

Oleh: Mohd Amin Jalil          Ahad, 25 November 2018 

SEREMBAN: Pendidikan berkaitan kaedah pemakanan sihat perlu diberi penekanan secara menyeluruh, bagi membolehkan semua lapisan masyarakat terutama ibu bapa mendapat kefahaman mengenai pentingnya amalan gaya hidup sihat.

Ini berikutan ramai kalangan masyarakat berdepan pelbagai masalah penyakit yang berpunca daripada pemakanan tidak betul hingga mengundang kepada risiko kesihatan.

Justeru Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun menggesa pihak yang berkenaan atau institusi tertentu agar dapat menganjurkan lebih banyak program mengenai bimbingan pemakanan sihat kepada orang ramai.


"Saya rasa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) boleh

memainkan peranan proaktif dalam membantu masyarakat mendapatkan ilmu mengenai pemakanan sihat, sebagai suatu tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Kita harus sedar bahawa cara mengambil makanan dan kawalan pemakanan, serta penjagaan kesihatan lain amat penting untuk kita mendapatkan tahap kesihatan yang baik.

"Justeru menerusi program pendidikan pemakanan sihat ini akan dapat membantu, terutama ibu bapa dalam membina keluarga yang sihat kerana ia memainkan peranan penting dalam melahirkan masyarakat yang sihat dan produktif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Jelajah Sukarelawan Fakulti Pergigian USIM di Balai Raya Taman Desa Rhu Sikamat, dekat sini, hari ini.

Hadir sama adalah isteri beliau, Puan Hajah Wan Hasni Wan Yusof, termasuk Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan Rozali; doktor; pensyarah USIM dan pemimpin setempat.

Pelbagai aktviti diadakan semasa program berkenaan antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, aktiviti sukan memanah dan pertandingan mewarna peringkat kanak-kanak.

Aminuddin turut mengucapkan terima kasih kepada USIM kerana memilih Sikamat sebagai destinasi penganjuran program tersebut.

Menurutnya, program itu amat baik kerana menerusi pemeriksaan kesihatan diadakan membolehkan pengesanan awal penyakit dapat dilakukan dan ini sekali gus membantu masyarakat mengamalkan budaya hidup sihat.

"Terima kasih kepada USIM khususnya Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Musa Ahmad kerana menjayakan program ini yang memberikan perkhidmatan untuk kesejahteraan masyarakat.

"Saya harap program seperti ini dapat diperluaskan lagi agar lebih ramai pihak menerima manfaatnya. Sesungguhnya kesihatan itu penting dan nikmat paling besar kurniaan Allah SWT kepada kita, maka kita perlu menjaganya dengan baik.

"Kerajaan Pakatan Harapan akan terus bekerjasama dengan USIM dalam menjayakan setiap program untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.

1/3