MB PUJI PERANAN BALKIS

Oleh: Mohd Amin Jalil          Ahad, 25 November 2018 

SEREMBAN: Biarpun hanya dianggotai 59 ahli daripada 32 keluarga, namun Badan Kebajikan Islam Sikamat (BALKIS) berjaya membuktikan kemampuan apabila dapat memainkan peranan dalam membantu masyarakat setempat dan golongan yang memerlukan.

Justeru Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun melahirkan rasa puas hati terhadap pencapaian badan berkenaan dalam membantu terutamanya kepada mereka yang ditimpa musibah dan kesakitan.

"Saya puas hati dengan usaha BALKIS yang terus bergerak sebagai badan yang mengutamakan kebajikan ahli dan kepentingan masyarakat sekitar.


"Walaupun keahlian tidak ramai dan dipimpin oleh mereka yang layak dipanggil `otai', namun persatuan ini terus

berfungsi dengan baik untuk kepentingan ahli dan masyarakat.

"Kita sedar, bukan mudah untuk mengendalikan sesebuah persatuan tetapi BALKIS dapat buktikan kemampuan dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap bagi merasmikan Mesyuarat Agung BALKIS di Balai Raya Rumah Rakyat Sikamat, di sini, petang semalam.

Hadir sama adalah Pengerusi BALKIS, Zulkifli Abdul Rahman dan ahli persatuan itu.

Aminuddin berkata, BALKIS begitu dekat di hatinya memandangkan persatuan itu sentiasa memintanya hadir dalam setiap program anjuran persatuan berkenaan sejak bergelar ADUN Sikamat.

"Persatuan ini mempunyai makna yang besar bagi saya dan keluarga, sebab itu saya tetap hadir. Bagi saya, persahabatan dan persaudaraan itu lebih penting," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar BALKIS dapat terus bergerak ke hadapan demi kepentingan masyarakat dan pihaknya akan membantu dari pelbagai sudut yang diperlukan.

"Buatlah aktiviti yang sesuai untuk masyarakat di sini dan berikan perhatian serta bantuan yang diperlukan, terutama mereka yang ditimpa kesusahan atau sebagainya," katanya.

24 nov 7-1.jpg