KERAJAAN NEGERI SEMBILAN SEDIA BANTU MELAKA

Sabtu, 25 Mei 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Mohd Zamzuri Daud
Foto: Nabilsyafiq MH

1/4

KUALA PILAH: Kerajaan Negeri Sembilan sedia membantu Melaka dalam aspek bekalan air, berikutan keadaan Empangan Durian Tunggal yang kini menghampiri paras kritikal.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pihaknya melalui Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) boleh menyalurkan bekalan air dengan cara menyambungkan paip di enam kawasan yang sesuai.

Menurutnya, kawasan dimaksudkan terletak di bahagian sempadan antara Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Linggi, Lubok Cina, Pulau Sebang, Taboh Naning, Batang Melaka dan Pekan Batang Melaka.

"Kita dimaklumkan bahawa Empangan Durian Tunggal telah merosot kerana tak ada hujan di Melaka. Tapi alhamdulillah di Negeri Sembilan, semua empangan kita melebihi paras 90 peratus.

"Kalau diperlukan oleh pihak Kerajaan Negeri Melaka, kita akan membantu mereka. Setakat ini, Kerajaan Negeri (Melaka) belum menghubungi (Kerajaan Negeri Sembilan) lagi.

"Mungkin (bekalan air) mereka masih cukup. (Soal) bayaran itu, kita akan runding," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah di Dewan Bandaran Majlis Daerah Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah ADUN Pilah, YB Mohamad Nazaruddin Sabtu serta Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon.

Media melaporkan sebelum ini, Melaka berkemungkinan besar berdepan krisis bekalan air jika taburan hujan di kawasan tadahan di negeri itu terus berkurangan hingga 15 Jun ini.

Ketua Menteri Melaka, Tuan Haji Adly Zahari berkata, keadaan itu bakal menyebabkan kapasiti air di tiga empangan negeri kekal merosot, sekali gus memaksa catuan bekalan air terhadap pengguna.

Pada Rabu lalu, paras air di Empangan Durian Tunggal mencatatkan paras bacaan 37.8 peratus, diikuti Empangan Jus 66.4 peratus manakala Empangan Asahan 62.5 peratus.